Pada jam 6.28 pagi, 8 Nov 2011 9 Nov 2011 nanti (waktu Malaysia), sebuah asteroid yang agak besar dijadualkan akan melintasi Bumi. Lintasan asteroid dengan bumi, bukanlah sesuatu yang pelik atau jarang berlaku. Namun jika ia melintas di dalam lingkungan jarak Bumi-Bulan, yang itu agak jarang berlaku!
Asteroid yang dikenali sebagai 2005 YU55 akan berada pada jarak hanya 324,600 km sahaja dari Bumi pada waktu dan tarikh diatas.
(Foto di atas adalah rakaman dari teleskop radio Arecibo Telescope's planetary radar pada 19 April 2010, ketika ia berada 1.5 juta batu dari Bumi. CREDIT: Arecibo Observatory/Michael Nolan)
Ia merupakan sebuah asteroid yang agak besar, dengan saiz diameter lebih kurang 400 meter. Ia ditemui pada 20 Dis 2005 oleh Robert McMillan dari Spacewatch Program di Arizona.
Jika kita lihat gambarajah paling atas, yang disediakan oleh laman web Space.com ini, sekali imbas ia dilihat begitu hampir dengan Bumi. Namun, jika dilihat dari sudut atau satah tepi (gambarajah kedua), jelas ia berada di 'atas' satah orbit Bumi-Bulan.
Memandangan asteroid ini akan muncul dari arah matahari, ia akan hanya berada di langit pada waktu siang. Ini akan menjadikan cerapan asteroid ini secara visual mustahil. Namun, ahli astronomi dunia sedang merancang untuk mengkajinya menggunakan teleskop radio.
Bebarapa laman web menyatakan kecerahannya hanya akan mencapai magnitud 11. Kecerahan sebegini memerlukan teleskop yang agak besar untuk dilihat secara visual.
Ahli astronomi yang melakukan kiraan terhadap orbit asteroid ini mendapati, walaupun ia dikategorikan sebagai "objek berbahaya yang berpotensi tinggi", namun ia tidak dijangka akan berlanggar dengan bumi untuk 100 tahun akan datang.