Dec
31

Ribut baru di Zuhal

Tag: jom teropong, penemuan, zuhal, blog

Atmosfera planet Zuhal tidaklah seaktif seperti Musytari. Jika dilihat menerusi teleskop, agak jarang untuk kita dapat melihat jalur-jalur gelap sepertimana jalur SEB dan NEB planet Musytari.

Tetapi, walaupun ia nampak tenang, jangan disangka tiada buaya! Di sebalik lapisan demi lapisan awan di Zuhal, di bawahnya sedang berlaku deruan ribut yang kuat dan berterusan. Kadangkala ribut ini sungguh kuat sehingga boleh memberi kesan terhadap rupabentuk 'permukaan' Zuhal yang dilihat daripada Bumi.

Itulah yang sedang berlaku sekarang. Sebuah tompok putih gergasi telahpun muncul dan sedang berlegar-legar di atas lapisan atmosfera paling tinggi planet berkenaan.

Malah, berdasarkan cerapan yang dibuat oleh ahli astronomi amatur, tompok putih ini jauh lebih cerah daripada sistem gelang Zuhal itu sendiri!

Wow!

Menurut sumber dari spaceweather.com, ahli astrofotografi veteran dari Australia, Anthony Wesley, menyatakan sistem ribut yang baru muncul ini mungkin yang terbesar yang pernah muncul sejak berdekad yang lalu!

Lihat sahaja foto di atas yang diambil oleh Anthony pada 22 Disember lepas dengan teleskop bersaiz 16 inci.

Lebih menarik lagi ialah, proba angkasa Cassini (foto di bawah) , yang sedang mengorbit Zuhal ketika ini, mengesan deruan statik radio yang kuat. Ini selalunya menandakan kewujudan kilat-kilat yang memancar di lapisan atmosfera Zuhal ketika ini.

Penerangan foto Casini boleh dirujuk di http://saturn.jpl.nasa.gov/photos/raw/rawimagedetails/index.cfm?imageID=230973

Foto beresolusi tinggi dari Cassini ini cukup hebat!  Saya membayangkan ia seperti setitik susu pekat yang sedang terserak di dalam cawan air teh tarik yang sedang dikacau perlahan-lahan! :-)

Apa yang akan berlaku selepas ini? Tidak ada sesiapa yang boleh memberi jawapan yang pasti. Tetapi apa yang pasti ialah, kita sebagai komuniti astronomi amatur patut terus cuba mencerap, memerhati, merakam dan melaporkan segala perubahan yang berlaku. Anthony menyatakan juga teleskop bersaiz sederhana boleh melihat tompokan putih ini.

Jom teropong!

 

Copyright © 1999-2010 Falak Online. All rights reserved. Powered by Drupal.

Penafian: Falak Online tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana maklumat dalam laman web ini.

Powered by Drupal, an open source content management system