Perkembangan dan 'Pengembangan ' terkini Komet 17P/Holmes

Tag: arkib

 Ok, dah lebih seminggu komet 17P/Holmes 'meletup' dan mengembang kepada saiz yang sungguh besar dan abnormal. Dan juga sudah seminggu saya tak dapat nak mencerap komet ini dari rumah, kerana faktor-faktor cuaca dan 'kesihatan' ;-) . Jadi terpaksalah mengharapkan berita-berita dari internet dan email, untuk mengikuti perkembangan dan 'pengembangan' menakjubkan komet ini.

Secara ringkasnya, menerusi mata kasar, saiz komet ini sudah cukup besar untuknya membentuk sebuah bulatan bersaiz 1/3 daripada diameter bulan. Maknanya, ia tidak lagi kelihatan seperti sebuah titik. Ini telah berjaya dilaporkan oleh Dr. Mus dari PUSKAL, Sabah 2 malam lepas.

1/3 daripada saiz bulan....itu dengan mata kasar. Tetapi secara realitinya, komet ini sudah mengembang kepada 7 kali ganda lebih besar dari planet terbesar dalam sistem suria kita, iaitu Musytari!!

Brian Emfinger (www.realclearwx.com) ada pos imej perbandingan komet ini dengan saiz Bulan di http://www.realclearwx.com/11020401.jpg

Apa yang telah berlaku di sini? Secara dasarnya tidak ada sesiapa yang tahu, disebabkan kedudukan komet ini yang terlalu jauh dari komet (ketika ini ia berada pada jarak di antara orbit planet Marikh dan Musytari). Hubble Space Telescope di jadualkan akan mengambil foto komet ini dalam masa terdekat. Tetapi menerusi teleskop ahli astronomi di bumi, keadaan komet ini masih lagi menjadi misteri.

Perbincangan yang dibuat menerusi rangkaian email comet-ml telah menunjukkan beberapa penemuan yang menarik. Dr. Clay Sherrod dari Akansas Skies Observatory melaporkan pada 2 Nov, komet ini masih lagi mengekalkan kecerahannya pada magnitud 2.0 . Namun saiz koma komet tersebut masih mengembang pada kadar yang menakjubkan. Warna kekuningannya masih kelihatansejak dari awal 'letusan'nya. Beliau telah paparkan foto perubahan menakjubkan komet ini di http://www.arksky.org/smf/index.php?topic=1429.msg6902#msg6902

Antara ciri-ciri menarik ialah kewujudan ekor komet ini. Pada awal 'letusan', komet ini langsung tidak menunjukkan sebarang tanda mempunyai sebuah ekor, seperti komet-komet lain. Di antara hujah yang diperbincangkan menerusi comet-ml ialah, komet ini berada pada sudut yang cetek dengan bumi dan matahari. Ini bermakna, ekornya mungkin wujud tetapi berada di belakangnya, seterusnya tidak memungkinkan kita dapat melihatnya dengan mudah.

Namun, beberapa hari lepas, beberapa orang ahli amatur telah berjaya merakamkan beberapa buah 'streamers' atau jalur-jalur yang muncul dari arah komet. Jalur yang berwarna kebiruan ini dipercayai ekor komet yang mula menunjukkan dirinya.

'Streamers' ini amat kelam, dan hanya berjaya dirakam menerusi alat rakaman CCD.

Antara contoh foto yang amat menarik perhatian saya ialah yang dirakam oleh ahli astrofotografi Perancis, Sebastian Voltmer (Foto di atas) . Beliau telah menggabungkan beberapa siri exposure yang diambil menerusi teleskop 4.1 inci, yang hasil akhir dengan indahnya telah menunjukkan pusat (core) komet ini yang kuning keemasaan, halo kehijauan disekelilingnya dan ekor kebiruan yang kelam dan mula kelihatan.

Laman web Spaceweather.com menyatakan ini merupakan antara foto komet yang paling cantik dan paling pelik pernah dirakam!

Sementara itu di Balaicerap Negara Langkawi, pegawai bertugas En.Karzaman Ahmad telah berjaya merakamnya menerusi teleskop RCOS 20". Pos imej tersebut boleh dilihat di http://observatory2.angkasa.gov.my/langkawibrowserastronomy/igallery/igallery.asp

Cuaca masih lagi tidak mengizinkan. Saya belum berpeluang melihatnya secara visual menerusi teleskop Dobsonian 10 inci f/4.5 saya. Mudah-mudahan sempat tengok nanti.

Sambil-sambil itu, teruslah tinjau-tinjau berita komet 17P/Holmes di internet, di laman-laman web atau terus ke FalakOnline. Sesungguhnya, sejarah sedang berlaku dan terpampang di hadapan kita hari ini

 

Copyright © 1999-2010 Falak Online. All rights reserved. Powered by Drupal.

Penafian: Falak Online tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana maklumat dalam laman web ini.

Powered by Drupal, an open source content management system