Cuaca tak menentu. Musim banjir dah mula melanda utara semenanjung. Mudah-mudahan semua warga Falak Online yang berada di utara selamat dari masalah yang melanda.
Tapi sambil-sambil tu, jangan lupa terus menerus mendongak ke arah langit dan memerhatikan fenomena-fenomena yang sentiasa berlaku. Seperti ahli forum kita, mymoon, yang terus aktif mengambil gambar-gambar menarik buruj di sebelah awal pagi, kita jangan terlupa di langit selepas Maghrib, akan berlaku satu himpunan planetari yang cukup menarik.
Jika anda sedar, planet Kejora sedang bersinar terang di ufuk barat dan mudah kelihatan selepas Maghrib. Kita tidak akan mempunyai masalah untuk mengenalpastinya, kerana kecerahannya amat terang dan kadang-kadang boleh disalah-anggap sebagai sebuah kapalterbang.
Ketika ini, Kejora berada di persekitaran buruj Scorpio. Fenomena yang saya ingin tarik perhatian anda semua ialah pada petang 25 Oktober nanti. Pada ketika itu, Kejora dan berada sebelah-menyebelah dengan bintang tercerah dalam buruj Scorpio, iaitu bintang Antares.
Kedua-dua objek ini akan dipisahkan sejauh 2 darjah. Cukup mudah untuk dimuatkan menerusi ruang penglihatan sebuah binokulars.
Dan alang-alang berada di situ, jangan lupa cuba jejaki gugusan bintang M4 yang berada berhampiran dengan bintang Antares.
Jom Teropong!


