5 daripada 8 buah planet di dalam sistem suria kita bersinar terang dalam kadar magnitud yang tinggi dan mudah kelihatan dengan mata kasar. Planet-planet tersebut ialah Utarid, Zuhrah, Marikh, Musytari dan Zuhal.
Walaupun Uranus pada asasnya berada di tahap kecerahan mata kasar, namun ia masih lagi agak sukar untuk dilihat dengan 'sekali imbas', dan memerlukan langit yang betul-betul gelap dan bebas dari gangguan pencemaran cahaya.
Melalui mata kasar, 5 planet tersebut akan kelihatan seperti bintang-bintang yang biasa dan kadangkala begitu cerah di langit. Tetapi, apabila anda menggunakan teleskop, keadaan fizikal planet-planet tersebut mula jelas kelihatan.
Utarid
Planet ini, yang saiznya hanya lebih kurang separuh daripada saiz Bumi, sangat kecil apabila dilihat menerusi teleskop. Ia merupakan Inner Planets iaitu planet yang berada di dalam orbit ke dalam daripada Bumi. Disebabkan kedudukanya demikian, kita akan dapat melihat bentuk-bentuk planet ini berubah-ubah seperti fasa bulan.
Namun, secara amnya, Utarid agak kurang menarik untuk dilihat menerusi teleskop, jika anda berharap untuk melihat keadaan permukaannya dengan jelas.
Zuhrah
Planet kedua daripada matahari ini merupakan planet atau objek yang kedua paling cerah di langit selepas matahari. Kehadirannya di langit sebelah pagi atau petang begitu menarik perhatian. Malah, ramai yang tersalah dan menganggapnya sebagai sebuah kapal terban.
Disebabkan saiznya hampir sama dengan Bumi, serta diselaputi keseluruhannya oleh lapisan awan yang memantulkan cahaya matahari dengan banyaknya, Zuhrah kelihatan amat terang dan boleh dilihat pada waktu siang.
Menerusi teleskop, seperti juga Utarid, ia akan kelihatan seperti bulan dan melalui kesemua fasa bulan, seperti bulan sabit, separuh dan penuh.
Marikh
Marikh yang merupakan planet keempat selepas matahari. Saiznya separuh daripada Bumi. Faktor ini menyebabkan bukan setiap hari kita akan dapat lihat Marikh dalam keadaan jelas dan besar menerusi teleskop. Setiap 2 tahun 2 bulan, Bumi dan Marikh akan berada pada kedudukan paling hampir. Ketika inilah, kita berpeluang melihat beberapa ciri permukaannya, seperti tompokan hitam, ribut pasir serta kutub utara dan selatanya.
Musytari
Planet paling besar di dalam sistem suria ini merupakan objek yang sungguh cantik dan besar apabila dilihat menerusi teleskop. Jalinan awan-awan yang berubah-ubah serta tarian bulan-bulan yang mengelilingi, menjadikan ia sebuah objek yang cukup 'hidup' untuk dicerap setiap malam.
Zuhal
Planet Zuhal jelas merupakan sebuah planet yang paling cantik. Sistem gelangnya yang begitu indah serta berubah-ubah setiap menjadikannya begitu mengasyikkan apabila dilihat menerusi apa jua jenis teleskop.
Copyright © 1999-2010 Falak Online. All rights reserved. Powered by Drupal.
Penafian: Falak Online tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana maklumat dalam laman web ini.