Alhamdullillah sesi cerapan dan sedikit pameran sempena Majlis Ijtimak Ulama Se-Nusantara ke-2 di Yayasan Al-Jenderami, telah dilakukan dengan sebaik mungkin pada 2 malam berturut-turut, iaitu malam Sabtu dan malam Ahad
Persekitaran Yayasan yang cukup indah dan permai ini, disulami dengan zikir dan ceramah pengajian, menambahkan lagi kemanisan sesi cerapan serba ringkas, tetapi penuh bermakna bagi pengunjung yang datang ke Majlis ini.
Saya, ditemai dengan 2 orang sahabat, En.Zul dan En.Rohisyam, bersama-sama dengan 2 buah teleskop, Dobsonian 10 inci dan LX90 8 inci, telah menjadikan planet Zuhal sebagai target utama sesi cerapan pada kedua-dua malam tersebut.
Walaupun cuaca pada malam Sabtu agak berawan, dan sekali-sekala sahaja Zuhal kelihatan, cuaca pada malam Ahad jauh lebih baik. Pengunjung yang datang berpeluang menjadi saksi ke atas bukti yang cukup jelas kekuasaan Allah SWT, menerusi sebuah objek yang dipanggil planet Zuhal.
Yang paling seronok ialah kanak-kanak yang sentiasa sahaja beratur panjang untuk menjeling walaupun seketika keunikan planet ini menerusi sebuah teleskop. Kebanyakkannya beratur lebih dari 10 kali!
Cuaca yang stabil pada malam itu, menyebabkan imej Zuhal sungguh stabil dan pegun. Gelangnya cukup jelas, dan bulan Titan turut berada berhampiran.
Sesi malam Ahad berlarutan sehingga 1 pagi.
Bagi sahabat-sabahat baru yang jumpa di sana, dan mengunjungi laman web ini buat kali pertama, mudah-mudahan sedikit sumbangan team kami semalam dapat memberi sedikit sebanyak ilmu yang boleh diwar-warkan kepada kaum keluarga, sahabat handai semua, InsyaAllah.


