Home
Home

Bagaimana cara mahu melihat juraian meteor?

Submitted by shahgazer on Sun, 15/11/2009 - 17:33.
  • Meteor
  • Tip mencerap

Ketika menghadiri Konvensyen Falak Pahang 2009 di Pusat Bandar Jengka tempoh hari, beberapa pelajar dan peserta telah bertanya berkenaan cara-cara untuk melihat atau mencerap juraian meteor Leonids yang bakal berlaku pada awal pagi 18 Nov nanti.

Kaedahnya sama dengan apa yang telah saya beritahu sebelum ini, namun saya cuba permudahkannya dalam bentuk soal/jawab di bawah:

Soalan: Perlu guna teropong ke untuk lihat meteor? 

Jawapan: Tidak perlu kerana meteor ini muncul dalam keadaan yang tiba-tiba. Kita tidak akan dapat mengagak di kawasan mana ia akan muncul. Dan bila ia muncul, pergerakannya sungguh pantas sehinggakan mustahil untuk dikejar menggunakan teleskop, hatta teleskop manual seperti dobsonian.

Soalan: Bagaimana rupa bentuk meteor itu nanti?

Jawapan: Ia akan kelihatan seperti satu garisan cahaya yang muncul tiba-tiba dan bergerak di dalam satu garisan yang lurus. Jika ia terang, ia akan meninggalkan 'kesan' atau 'bekas' disepanjang laluannya buat beberapa saat. Ada juga meteor yang digelar sebagai fireball, yang mana ia lebih besar dan terang dan bergerak perlahan sedikit berbanding meteor yang biasa.

Soalan: Saya tinggal di Kuala Lumpur. Boleh ke saya naik di atas bumbung rumah saya dan mencerap meteor tu?

Jawapan: Boleh, apa salahnya. Cuma anda tidak mungkin dapat melihat banyak meteor kerana lokasi anda mencerap mempunyai banyak sangat gangguan cahaya. Adalah lebih baik jika anda pergi ke kawasan gelap dan jauh dari bandar. Halakan pandangan anda dari sebarang sumber cahaya yang menyilaukan. Ini adalah kerana meteor-meteor ini kebanyakkannya adalah kelam, maka amat senang ditenggelami oleh gangguan cahaya.

Soalan: Untuk meteor Leonids ni, kenapa kena lihat pada waktu tertentu sahaja? Saya takut tak bangun tidur lagi pada waktu tu!!

Jawapan: Meteor-meteor yang muncul di langit berlaku pada julat tarikh tertentu. Dan di dalam tarikh-tarikh tersebut, ia akan memuncak pada jam atau minit tertentu sahaja. Ini berlaku kerana pada ketika itu, Bumi sedang bergerak di dalam kawasan debu-debu meteor yang padat di angkasa lepas. Oleh itu, jumlah meteor yang muncul akan mendadak naik (memuncak). Waktu selain daripada itu, meteor tetap akan nampak tetapi dengan jumlah yang lebih sedikit. Bab tak bangun tidur tu, tak dapek pakcik nak menolongnya!

Soalan:  Apa cara untuk melihat meteor ini?

Jawapan: Kita hanya perlu cari kawasan yang gelap, dan lapang. Lapang disini bermaksud kita dapat melihat seluas mungkin kawasan langit. Pastikan tidak ada gangguan penglihatan seperti pokok dan bangunan. Kemudian kita hanya perlu baring dan lihat ke arah langit. Tumpukan hanya satu kawasan langit sahaja kerana jika kita asyik pandang ke seluruh kawasan langit, kita selalunya akan terlepas lebih banyak meteor dan cepat penat!

Mudah-mudahan soalan ini dapat memberi sedikit panduan. Jika ada sebarang soalan, sila login ke forum di bahagian ini untuk bertanya sebarang kemusykilan. InsyaAllah ada ahli forum FO yang akan sudi membantu. 

 

 

 

  • Login to post comments

Best Viewed With

 

Produced with the financial assistance of the eContent Fund Malaysia

Logo MOSTI  Logo MOSTI

 

Copyright © 1999-2010 Falak Online. All rights reserved. Powered by Drupal.

Penafian: Falak Online tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana maklumat dalam laman web ini.

RoopleTheme